Kesalahan bahasa sering dilakukan oleh pengguna bahasa Melayu sama ada disengajakan atau tidak. Selaras dengan kepesatan perkembangan bahasa Melayu pada zaman ini, amat perlu untuk menyalurkan maklumat tentang penggunaan bahasa Melayu yang gramatis agar bahasa ini dapat diguna pakai sebaiknya dalam segenap aspek kehidupan masyarakat.
Gejala kesalahan bahasa berlaku kerana beberapa faktor. Antara faktor utama kesalahan bahasa ialah pengetahuan yang kurang dalam aspek tatabahasa. Pengguna bahasa kadangkala bersikap tidak mengambil berat penggunaan yang tepat dan betul. Tempoh pembelajaran bahasa selama 11 tahun di peringkat sekolah seolah-olah tidak mencukupi untuk menguasai ilmu bahasa kebangsaan negara Malaysia ini.
Faktor di atas dipengaruhi pula oleh kelaziman penggunaan bahasa yang tidak betul dan apabila ia menjadi kebiasaan dari segi pertuturan dan penulisan ditambah pula dengan sikap ambil mudah media massa menyebarkan maklumat yang kurang tepat dalam penggunaan bahasa, yang salah pun lama-kelamaan akan kelihatan sebagai betul.
Selain itu, kekeliruan juga merupakan puncayang menyebabkan kesalahan bahasa berlaku. Apabila wujud ketidakseragaman dalam sistem ejaan, tatabahasa dan penggunaan perkataan. Pertentangan pendapat ahli bahasa dalam membincangkan aspek-aspek di atas mempengaruhi kepenggunaan bahasa tersebut.
Kesalahan penggunaan bahasa Melayu boleh dibahagikan kepada pelbagai bentuk. Asraf di dalam bukunya "Kesalahan-Kesalahan dalam Penggunaan Bahasa Melayu" telah membahagikan kesalahan tersebut kepada pelbagai sudut, antaranya dari segi sintaksis, morfologi, semantik dan intonasinya. Semua aspek tersebut penting dalam penggunaan bahasa melayu yang baik.
No comments:
Post a Comment