Saya tertarik untuk berkongsi dengan para pembaca mengenai bidang wacana ilmu dalam bahagian ini. Bidang kajian ini tidak meluas lagi dalam negara kita. Oleh sebab itu tidak hairan jika terdapat pembaca yang tidak mengetahui maksud atau mengenali apa itu wacana. Walau bagaimanapun saya tidak membawa para pembaca untuk meneroka dan mengenali definisi konsep wacana tetapi saya hanya mengajak para pembaca meneroka serba sedikit sejarah perkembangan bidang wacana ini.
Wacana sebagai bidang kajian mempunyai sumber sejarahnya yang panjang. Bidang ini bermula dikatakan dalam tradisi peradaban Hindu lagi, pengkajian terhadap teks Veda merupakan asal mula pengkajian wacana dalam konsep keagamaan. Perkembangan bidang ini dapat dilihat daripada penghasilan banyak karya dan tokoh yang membicarakan tentang bidang ini di Barat. Tentang perkembangan awal analisis wacana moden dekad 1960-an , Van Dijk mengutarakan tiga kesimpulan. Pertama, minat awal dalam analisis wacana secara sistematis lebih bersifat usaha dekriftif dan strukturalis pada umumnya minat ini sebahagian besarnya melibatkan bidang linguistik dengan antropologi. Kedua ialah melibatkan genre wacana popular atau peribumi. Ketiga analisis fungsional tentang ayat dan struktur wacana.
Pertumbuhan kajian wacana bahasa Melayu agak lewat di Malaysia iaitu sekitar 10 tahun lewat berbanding dengan di Eropah. Penelitian wacana semakin menyerlah dekad 1990-an. Ramai tokoh-tokoh dalam bidang ini telah menonjolkan diri berminat untuk membuat penelitian terhadap bidang wacana. Pelbagai dapatan yang diperolehi melalui kajian mereka yang ditulis dalam penulisan ilmiah. Malahan sekarang bidang ini semakin diberi perhatian di peringkat peringkat ilmiah. Bidang ini juga menjadi kursus di peringkat institusi pengajian tinggi sama ada di peringkat ijazah dasar, ijazah sarjana mahupun ijazah kedoktoran.
Tahun 1960-an merupakan tahun yang memulakan perkembangan awal analisis wacana moden yang lebih bersifat deskriptif dan structural terhadap genre wacana popular atau peribumi. Tahun 1970-an pula merupakan analisis secara sistematis dalam disiplin yang sama atau antara disiplin. Perkembangan analisis wacana pada tahun 1980-an hingga 1990-an menjadikan analisis wacana lebih padu dan berkembang dan pada waktu yang sama merencam dan mengkhusus.
Perkembangan analisis wacana dalam bahasa Melayu agak lewat berbanding dengan di Barat. Sanat Md. Nasir menyimpulkan bahawa wacana bahasa Melayu masih baru manakala Muhammah Yunus Marlis mengatakan perintis analisis wacana dalam bahasa Melayu dengan mengunakan teknik keperihalan keadaan untuk menerangkan penggunaan ganti nama.
Berdasarkan perkara yang telah dibincangkan di atas dapat disimpulkan bahawa perkembangan bidang wacana di negara kita masih baru dan belum berkembang sepenuhnya. Oleh sebab itu, pihak yang berwajib untuk menjayakan dan memperkembangkan bidang wacana bahasa Melayu ini perlu memikirkan cara mengetengahkan bidang ini dalam pendidikan negara kita. Hal ini kerana, bidang ini sangat penting untuk menghasilkan tokoh-tokoh dalam bidang ini.
No comments:
Post a Comment