Friday, March 11, 2011

Meningkatkan Jumlah Istilah dalam Bahasa Melayu


       Saya telah mengutarakan cabaran-cabaran berkaitan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sebelum ini. Kita dapati bahasa Melayu mempunyai istilah yang sangat kurang untuk mengungkapkan pelbagai perkara. Di sini saya cadangkan beberapa cadangan untuk mengatasi masalah ini.
       Masalah kurangnya istilah-istilah dalam bahasa Melayu untuk mengungkapkan pelbagai bidang perlu diatasi dengan berkesan dan tangkas supaya bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tidak ketinggalan dalam mengungkapkan perkara baru dalam pelbagai bidang. Usaha mengubal istilah dalam bahasa Melayu untuk mengisi peranan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu di negara ini telah bermula pada tahun 1957. Bidang terawal yang dikaji ialah Istilah Kerajaan dan Istilah Ilmu Sains dan teknik. Pengubalan dan pembentukkan istilah baharu perlu sentiasa dijalankan supaya bahasa Melayu tidak ketinggalan untuk mengungkapkan pelbagai ilmu pada masa kini.
            Secara keseluruhan dalam bidang ilmu moden yang digubal istilah, baik dalam bidang ilmu Sains sosial mahupun ilmu Sains tabii, terdapat bidang baharu yang berkaitan dengan kemajuan negara yang mutakhir, iaitu bidang Aeroangkasa, Kejuruteraan kapal terbang, dan Kejuruteraan automotif. Bidang ini perlu diterokai selaras dengan bidang sains untuk memudahkan pembentukkan istilah bagi lebih memahamkan orang ramai berkaitan dengan bidang tersebut. Antara langkah yang diambil untuk mengatasi masalah ini ialah pengerusi Jawatankuasa Istilah Aeriangkasa iaitu Dr. Ahmad Sabirin telah mempergiatkan usaha membentuk istilah berkaitan dengan bidang beliau. Beliau merupakan pakar mereka bentuk, melancarkan dan mengoprasikan mikrosatelit pertama Malaysia, iaitu Tiung SAT-1 memudahkan beliau menjalankan tugas beliau sebagai pengerusi pembentukkan istilah dalam bidang ini kerana beliau lebih memahami bidang ini. Selain daripada itu, peranan DBP perlu terus menangani masalah kekurangan istilah ini dengan berkerjasama dengan pakar-pakar ilmu yang sebilangan besarnya dari golongan yang terdidik dalam sistem pendidikan kebangsaan, sekurang-kurangnya peringkat sekolah.
Peranan untuk memperkaya istilah dalam bahasa Melayu untuk menjadikan bahasa ini sebagai bahasa ilmu, ribuan pakar dalam ratusan atau pelbagai bidang perlu melakukan penggubalan istilah, menyusun glosari dan kamus istilah serta mengembangkan istilah tersebut dalam kuliah mereka di institusi pengajian tinggi dan juga dalam pengurusan institusi profesional masing-masing. Pakar-pakar ini merupakan aset yang penting kepada negara dan keterlibatan mereka dalam pembentukkan istilah telah membantu mengatasi masalah kekurangan istilah. Sebagai usaha untuk memperluas sumbangan kepakaran mereka untuk memperkaya bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, DBP telah merancang dan memulakan gerak langkah melibatkan pakar-pakar ilmu dan profesional itu dalam penghasilan karya ilmiah dalam bentuk buku dan kamus ensiklopedik dalam bidang masing-masing. Dijangka bahawa dengan usaha dan startegi yang bersepadu dan terancang, penghasilan karya ilmu dalam bahasa Melayu akan menjadi pesat dan dapat memenuhi keperluan mengilmukan generasi pembina negara.
Itulah cadangan saya.

No comments:

Post a Comment