Hari ini saya mengajak pembaca meneliti cabaran bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam dunia pendidikan di negara kita. Hal ini menarik perhatian saya kerana saya mendapati pelbagai pihak yang cuba menpertikaikan kebolehan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Masa depan Bahasa Melayu amat cerah pada masa kini. Bahasa Melayu juga mempunyai kedudukan yang terjamin, dari segi penggunaan yang meluas oleh rakyat Malaysia dan perakuan oleh Malaysia. Malahan negara telah berjaya menghasilkan murid-murid yang mendapat keseluruhan pendidikan dalam bahasa Melayu hasil daripada pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan. Penuntut di peringkat pengajian tinggi juga telah menerima pendidikan mereka dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Kejayaan bahasa Melayu tersebut sudah semestinya melalui cabaran yang getir sebelum mencapai kegemilangan tersebut. Pelbagai usaha dan cara mengatasi yang telah dilakukan untuk memantapkan lagi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Bentuk bahasa Melayu telah disempurnakan sehingga berupaya memperkatakan tentang pelbagai bidang yang wujud dalam kehidupan rakyat malaysia. Keupayaan bahasa Melayu ini telah membawa bahasa ini dapat bersaing dan berdiri sama teguh dengan bahasa-bahasa moden yang lain di dunia ini.
Walaubagaimanapun bahasa Melayu perlu meningkatkan lagi status penggunaannya, iaitu dari segi menimbulkan unsur-unsur keindahannya. Hal ini kerana bahasa Melayu telah berdepan dengan pelbagai cabaran yang dapat menggugat kedudukannya sebagai bahasa pengantar di peringkat sekolah dan pengajian tinggi. Tambahan pula beban tugas bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan awam dan sebagai bahasa pengantar serta bahasa ilmiah di sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi harus dipikul. Oleh sebab yang demikian, timbul pelbagai perancangan untuk mencapai kejayaan yang telah diharapkan serta menghadapi pelbagai cabaran yang datang. Sekiranya tanpa perancangan yang teliti kejayaan tersebut agak sukar dicapai.
Kedudukan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan sama penting dengan kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi pentadbiran. Menurut Awang Sariyan (1996:88) penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan adalah bertujuan untuk memenuhi konsep dan peranan bahasa rasmi juga. Hal ini kerana, intisari Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) di Malaysia bertujuan untuk mewujudkan masyarakat bersatu padu dengan mengunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Terdapat pihak berpendapat bahawa bahasa Melayu belum cukup maju serta tidak mampu terutamanya dalam bidang sains dan teknologi. Sikap meragui dan mempersoal kedaulatan bahasa Melayu sudah lama berlaku dan sudah tidak seharusnya diperkatakan lagi. Namun perkara yang dikesalkan sejak akhir-akhir ini ialah kedaulatan bahasa Melayu sudah dilemahkan. Kebanyakan tokoh kita lebih banyak bertutur dalam bahasa Inggeris tidak kira dalam acara rasmi atau tidak rasmi. Sedangkan bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa rasmi negara kita.
Antara cabaran-cabaran yang dihadapi oleh bahasa Melayu dalam dunia pendidikan ialah penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan teknologi di Institusu Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), kekurangan buku ilmiah, masalah linguistik dan kekurangan istilah-istilah bahasa Melayu dalam pelbagai bidang.
Itulah cabaran-cabaran yang harus dihadapi oleh bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. seharusnya perkara ini diteliti dan dikaji dengan baik agar jalan penyelesaian dapat dikenalpasti serta langkah drastik memperbaiki masalah ini dapat diambil.
No comments:
Post a Comment