Dalam kehidupan seharian kita, sudah pasti kita sentiasa mengungkapkan sesuatu melebihi batas ayat. Batas ayat ini merujuk kepada wacana yang telah kita ujarkan. Dalam ujaran kita, kita secara tidak sedar telah mentautkan ayat yang sebelumnya dengan ayat yang selepasnya. Pertautan ini disebut sebagai tautan dalam wacana.
Pike dan pike mendefinisikan tautan sebagai fitur sesuatu tagmen yang menentukan cara bagaimana tagmen itu menguasai atau dikuasai oleh tagmen lain. Gutwinksi pula tidak melihat tautan sebagai fitur tetapi sebagai hubungan yang terdapat dalam ayat dan klausa dalam sesuatu teks. Kesimpulan yang dibuat oleh Sanat Md. Nasir mengenai konsep tautan ialah fungsi tautan dapat dirumuskan sebagai hubungan satu ikatan yang apik dan bermakna. Konsep cakupan tautan ini merujuk kepada hubungan unsur linguistik di dalam sesuatu teks, sama ada di peringkat dalam ayat atau antara ayat, dan hubungan ini boleh sahaja bersifat formal atau semantik dengan fungsinya. Ditegaskan bahawa unsur linguistik yang berhubungan itu berada dalam unit teks yang berlainan.
Tautan menurut model tautan pindaan dapat dibahagikan kepada tiga jenis utama iaitu tautan perulangan, tautan kolokasi dan tautan penghubung ayat. Permbahagian ini berdasarkan ciri bentuk, fungsi, makna dan konteks. Tautan perulangan menunjukkan ciri, sama ada bentuk unsur linguistik yang berulang, atau dari segi makna unsur itu yang berulang, atau kedua-duanya sekali. Ciri di atas termasuk fungsi unsur yang terlibat menjeniskan lagi tautan perulangan kepada tujuh jenis. Tautan kolokasi melibatkan makna iaitu kebeadaan unsur linguistic yang terlibat dijeniskan lagi kepada empat jenis. Penentuan tautan utama yang ketiga, iaitu tautan penghubung ayat dilakukan dengan melihat fungsi unsur linguistik itu. Penghubung ini berfungsi menghubungkan antara unsur linguistik iaitu unit teks sebelum dengan yang sesudahnya. Penghubung ayat dapat dibahagikan kepada lima jenis iaitu penghubung ayat tambahan, penghubung ayat pertentangan, penghubung ayat sebab-musabab, penghubung ayat masa dan penghubung ayat terusan.
Sebagai seorang pewacana yang baik, kita harus cuba memenuhi konsep tautan ini agar idea yang ingin disampaikan kepada orang lain dapat disampaikan dengan berkesan.
No comments:
Post a Comment