Thursday, March 10, 2011

Kurangnya Istilah Bahasa Melayu

       Masalah yang seterusnya saya dapati dalam sistem pendidikan negara kita ialah kekurangan istilah-istilah untuk mengungkap sesuatu bidang. Keterbatasan ini sedikit sebanyak menunjukkan bahasa Melayu mempunyai kelemahan dalam memegang peranannya sebagai bahasa ilmu di negara kita. 
       Dalam kehidupan seharian manusia, mereka berkomunikasi dengan mengunakan bahasa. Bahasa merupakan alat komunikasi yang penting dalam masyarakat untuk memperkata atau membincangkan pelbagai hal, aspek, bidang dan peristiwa. Selain daripada itu, bahasa juga digunakan menyatakan buah fikiran, pendapat, perasaan, hasrat dan sebagainya. Bahasa boleh digunakan untuk menerangkan hal-hal mengenai sejarah, sastera, agama, ekonomi, sains, pertanian, kejuruteraan, perubatan, undang-undang, dan lain-lain lagi bidang.
            Bagi menghuraikan hal, aspek, bidang dan peristiwa yang berbeza-beza sesuatu bahasa tersebut harus mempunyai banyak kosa kata untuk memenuhi keperluan untuk mengungkapkan pelbagai bidang. Dalam setiap bidang yang ingin diterokai perlu ada istilah-istilah tertentu yang berlainan dengan istilah-istilah dalam bidang lain. Permintaan terhadap istilah-istilah ini untuk mengungkapkan pelbagai bidang merupakan cabaran kepada bahasa Melayu dalam dunia pendidikan di negara kita. Hal ini demikian kerana semakin hari semakin bertambah bidang baru yang wujud di dunia ini yang memerlukan bahasa Melayu membentuk sesuatu istilah yang bertepatan dengan bidang tersebut. Sekiranya tidak prihatin dan mengambil tahu tentang ilmu dan perkara terbaru yang wujud di dunia ini, maka bahasa Melayu ketinggalan zaman untuk mengungkapkan perkara tersebut.
Kepentingan mengikuti arus perkembangan bidang-bidang ilmu dalam dan luar negara seterusnya membentuk istilah-istilah tertentu dalam bahasa Melayu selaras dengan makna istilah terbaru tersebut ialah memudahkan pemahaman penuntut untuk faham sesuatu perkara berdasarkan bahasa ibunda negara ini sendiri.
Sehingga kini, istilah yang terhasil dalam bahasa Melayu hampir mencecah jumlah satu juta dan meliputi ratusan ilmu dan profesional. Manakala jumlah buku istilah dalam bahasa Melayu yang telah diterbitkan oleh DBP sahaja sudah berjumlah 199 judul. Seluruh peringkat dalam sistem pendidkan negara telah pun memanfaatkan penggunaan istilah yang digubal untuk penyampaian dan pengembangan ilmu kepada semua pelajar di peringkat itu. Walaupun jumlah istilah ini hampir mencukupi, tetapi bahasa Melayu perlu sentiasa memperbaharui dan menbentuk istilah baharu berdasarkan perkembangan pelbagai bidang bahasa.
Usaha dan kerjasama pelbagai pihak untuk menyumbangkan tenaga membina dan membentuk istilah baru amat penting. Hal ini supaya bahasa Melayu mampu mengungkapkan pelbagai perkara dalam pelbagai bidang. Sekiranya masalah kekurangan istilah dalam bahasa Melayu berterusan tugas bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi akan tergugat apabila berlaku pembentangan sesuatu projek mengunakan bahasa asing kerana bahasa Melayu tidak dapat mengungkapkan pelbagai perkara.
Begitulah pemikiran yang dapat saya utarakan dalam coretan ini. Diharapkan pembaca yang mempunyai idea cara-cara mengatasi masalah kekurangan istilah ini dapat mengutarakan pendapat mereka dalam blog saya. Sama-samalah kita memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di negara kita.

No comments:

Post a Comment