Thursday, March 10, 2011

Budaya bahasa dalam masyarakat dahulu

           Pada hari ini saya ingin mengajak pembaca untuk mengenali peranan bahasa Melayu sabagai bahasa ilmu pada zaman pemerintahan zaman Melayu Melaka. Saya tertarik dengan tajuk ini kerana ingin mengetengahkan peranan besar bahasa Melayu ketika dahulu sebagai bahasa pengantar dalam pemerintahan itu, sama seperti hari ini. 
           Bahasa Melayu Klasik telah digunakan pada abad ke-14 hingga ke-19. Sepanjang abad ini bahasa ini mencapai kegemilangan  pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dan zaman Kerajaan Johor-Riau. Bahasa ini juga telah menjadi bahasa baku dalam pemerintahan negara yang berpusat di istana dan hubungan dengan dunia luar. Peranan bahasa ini sebagai bahasa ilmu sejak adanya kerajaan Melayu Melaka dan Johor-Riau dapat dilihat melalui petikan di bawah
“Bahasa ini mempunyai taraf dan mutu yang tinggi dan mengandungi laras bahasa yang bayak dan untuk berbagai-bagai bidang ilmu seperti undang-undang, perubatan, sejarah, agama, dan seni sastera.”
                                                            (Abdullah Hassan dan Ainon Mohd., 1994:24)
Pada zaman ini peranan agama Islam sangat penting untuk membawa kepada perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Hal ini dapat dilihat apabila Islam menyumbang dan memperkenalkan sistem tulisan Jawi dan kosa kata Arab. Sebelum kedatangan Islam bahasa ini tidak mempunyai tulisan yang lengkap selepas kedatangan kemasukan agama Islam, Sistem tulisan Jawi telah diperkenalkan dan diistiharkan sebagai tulisan rasmi di kepulauan tersebut. Selain daripada perkembangan ilmu undang-undang, sejarah, dan agama kerana kedatangan tulisan ini, ilmu kesusasteraan merupakan ilmu yang paling berkembang dengan mengunakan tulisan jawi. Selain daripada sumbangan Islam dalam bidang tulisan, Islam turut memperbanyakkan lagi kosa kata bahasa Melayu malahan menurut Za’ba kosa kata yang diperkenalkan lebih banyak daripada kosa kata bahasa Sanskrit.
Perkembangan bahasa ilmu dapat dilihat daripada beberapa buah karya penting yang dihasilkan pada zaman Melayu Klasik. Karya-karya penting ini ialah Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Merong Mahawangsa, Misa Melayu, Sejarah Melayu, hikayat Anggun Cik Tunggal, Hikayat Awang Suluh Merah Muda, dan Hikayat Panji semerang.
Selain daripada melihat beberapa buah karya yang dihasilkan, perkembangan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dapat dilihat dari segi kemasukan unsur-unsur asing dalam Bahasa Melayu. Menurut Abdullah Hassan, (1940 : 32 ) sesuatu bahasa hidup lama ialah keupayaan bahasa itu menerima unsur-unsur daripada bahasa asing dan menjadikan unsur miliknya sendiri. Manakala bahasa yang mati ialah bahasa yang tidak mahu mengambil unsur-unsur asing. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang hidup kerana menerima pelbagai unsur-unsur asing dalam bahasanya.
Bahasa Melayu pada masa itu tidak hanya menerima kosa kata daripada bahasa Arab dan Sanskrit sahaja tetapi turut menerima pengaruh daripada bahasa Parsi bahasa cina, bahasa Indonesia, bahasa-bahasa eropah dan bahasa Siam. Apabila bahasa-bahasa ini banyak menyumbangkan kosa kata dalam bahasa Melayu maka bahasa Melayu mempunyai banyak perkataan yang menyumbang kepada perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Oleh kerana bidang ilmu mempunyai pelbagai bidang maka tempat lahirnya ilmu itu turut berbeza seterusnya bahasa Melayu memerlukan kosa kata bahasa tempat tersebut untuk mengungkapkan ilmu tersebut. Selepas itu pelbagai laras bahasa dapat diwujudkan kerana adanya kosa kata yang pelbagai untuk mengungkapkan pelbagai bidang ilmu.
Berdasarkan perbincangan yang telah saya paparkan tadi, boleh kita ketahui bahawa bahasa sangat penting sebagai bahasa pengantar ilmu dan peranan Islam sebagai penyumbang kepada perkembangan ilmu di Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Selain daripada itu, peranan istilah penting dalam kosa kata asing dimasukkan ke dalam bahasa Melayu penting untuk perkembangan bahasa budaya dalam masyarakat.

No comments:

Post a Comment