Hari ini saya ke perpustakaan untuk mencari bahan rujukan tugasan saya. Oleh kerana, tugasan saya melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran berasaskan model maka semua rujukan saya dapati kebanyakan dalam bahasa Inggeris. Secara tidak langsung, hal ini telah menyebabkan saya sukar untuk mendalami maksud yang terdapat dalam buku itu. Saya berfikir alangkah baiknya jika buku rujukan bahasa Inggeris itu diterjemahkan dalam bahasa Melayu. Saya mencuba mencari lagi bahan rujukan dalam bahasa Melayu, ternyata keputusan sangat mengecewakan kerana sedikit sahaja bahan dalam bahasa Melayu saya perolehi. Itu pun tidak membantu sangat dalam tugasan saya. Saya mencadangkan agar pihak berwajib meningkatkan penerbitan buku ilmiah dalam bahasa Melayu.
Pengiktirafan yang diberikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu perlu dijaga kedudukan dan peranannya. Salah satu usaha ialah memenuhi erti tersebut ialah dengan memperkaya khazanah persuratan dengan karya-karya ilmiah dalam segala bidang. Sebelum tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1956, penerbitan buku-buku pelajaran, buku-buku teks dan bahan-bahan bacaan hanya dilakukan oleh Pejabat Karang Mengarang di Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) Tanjung Malim. Buku-buku teks hampir tidak ada dalam bahasa Melayu kerana kesemuanya diterbitkan dalam bahasa Inggeris.
Sekarang DBP berperanan memikul tanggungjawab yang dipikul oleh Pejabat Karang Mengarang. Oleh kerana DBP merupakan agensi kerajaan yang berperanan memajukan dan memperkaya bahasa kebangsaan, terpaksa memikul beban berat untuk menyediakan buku-buku teks dan bahan-bahan pelajaran untuk sekolah-sekolah dalam bahasa Melayu. Selain itu buku-buku teks dalam bahasa Melayu, baik karya asal mahupun karya terjemahan perlu disediakan.
Selain daripada peranan DBP sebagai penerbit buku peranan pihak seperti Persatuan Penterjemahan Malaysia dan kerajaan amat diperlukan untuk memperbanyak buku terbitan dan terjemahan. Usaha dan kempen harus giat dilakukan agar penerbitan buku pengajian tinggi dalam bahasa Melayu bertambah dan seterusnya memenuhi keperluan pengguna bahasa Melayu. Kerajaan juga di minta membentuk Dasar Buku dan Terjemahan Kebangsaan untuk merealisasikan impian agar pembentukan Biro Buku dan Terjemahan Kebangsaan yang khususnya bertugas memindahkan ilmu-ilmu moden ke dalam bahasa Melayu. Ternyata pembentukan Institut Terjemahan Negara telah diluluskan pada tahun 1993.
Peranan pensyarah atau golongan yang bijak pandai amat penting dalam meningkatkan jumlah penerbitan buku ilmiah dalam bahasa Melayu. Golongan ini perlu diwajib menghasilkan dan menerbitkan beberapa buah buku dalam satu tahun. Selain berperanan mengajar golongan tertentu, mereka juga dapat menyumbangkan bakti mengajar orang lain apabila buku mereka menjadi bahan bacaan orang ramai. Sesunggunhnya usaha murni mereka ini dapat mengatasai masalah kekurangan buku ilmiah dalam bahasa Melayu disamping dapat berkongsi ilmu mereka dengan orang lain.
Setelah menyatakan langkah-langkah meningkatkan jumlah penerbitan buku dalam bahasa Melayu, ternyata banyak lagi pihak lain yang turut membantu mengatasi masalah ini. Bukan setakat peranan DBP sahaja tetapi melibatkan golongan bijak pandai.
Begitulah cadangan saya untuk mengatasi masalah kekurangan buku ilmiah dalam bahasa Melayu.
No comments:
Post a Comment