Thursday, March 10, 2011

Kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu

Semua  rakyat Malaysia sedia maklum dengan penubuhan Jawatankuasa Razak pada tahun 1956, jelas dapat dilihat bahawa wawasan yang ingin dicapai dalam pembentukkan negara berkaitan juga dengan aspek bahasa juga diambil kira. Laporan Razak ini telah menegaskan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara kita. Rancangan ini kemudian telah dikukuhkan lagi oleh Jawatankuasa Rahman Talib pada tahun 1960. Jawatankuasa ini telah menjadi asas kepada pembentukan Akta Pendidikan 1961 dan diperteguhkan lagi dalam Akta Pendidikan 1996.
            Peranan atau kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa pengucapan ilmu dapat dilihat apabila bahasa ini dijadikan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara kita. Apabila bahasa ini digunakan maka bahasa Melayu dapat mengisi erti pendemokrasian pendidikan kerana sebahagian besar rakyat mendapat ilmu melalui satu bahasa sahaja. Apabila semua orang mengunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu maka jurang pendidikan dapat dielakkan kerana kita sudah mempunyai sistem pendidikan kebangsaan dan bukan sistem yang memisahkan jurang antara rakyat. Selain daripada itu penggunaan bahasa kebangsaan ini juga dapat mengembangkan ilmu dan memudahkan proses penyampaian ilmu kepada masyrakat menjadi lebih berkesan.
            Kejayaan hasil daripada penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu apabila ratusan ribu ahli ilmu, korporat, professional dan tenaga pembangunan negara dalam pelbagai bidang telah berjaya dihasilkan setelah Akta Pendidikan ini diwartakan. Aspek kejayaan sistem pendidikan mengunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar kerana kesatuan sikap, pemikiran. Sistem nilai dalam kalangan generasi muda kita. Selain daripada itu disebabkan juga budaya berbahasa yang secara relatifnya seragam. Kejayaan dan kepentingan semua ini dapat dilihat oleh pihak sekolah yang berperanan mengajar generasi masa kini bahasa Melayu. Melalui bahasa Melayu juga prasangka buruk antara kaum dapat dielakkan.
            Selain daripada kepentingan yang telah disebutkan tadi bahasa Melayu juga amat penting untuk hal ehwal pembinaan negara kita sebagai negara bangsa. Hal ini kerana bahasa Melayu amat penting untuk mengeratkan perhubungan dalam pembinaan konsep kebangsaan dan kenegaraan yang dikenali sebagai Malaysia. Sesungguhnya perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu amat penting untuk menyatukan roh bangsa, asas jati diri dan citra bangsa selain daripada untuk menyampaikan ilmu pengetahuan. 

2 comments: