Tuesday, January 25, 2011

Novel "Intelok"

Hari ini menghadiri seminar yang membincangkan tentang novel "Intelok". Seperti yang sedia maklum novel ini telah mencetuskan isu yang paling hangat sehingga menyebabkan perbalahan antara pelbagai pihak. Hari ini saya mendengar pendapat-pendapat setiap pendiskusi berkaitan dengan mempertahankan agar teks asal novel ini tidak diubah mengikut kehendak pihak yang membangkang agar novel ini tidak menjadi teks wajib sastera di sekolah. Pendiskusi pada hari ini ialah En Halim Ali dengan Prof Mana Sikana yang kedua-duanya mempertahankan agar teks asal tidak digubah untuk menjadi edisi pelajar di sekolah. Perkataan yang menimbulkan ketidakpuasan hati kaum India ialah tentang "perbezaan kasta" dalam novel tersebut. 
Saya terfikir bahawa perkataan yang pendek sahaja boleh menyebabkan perbalahan yang besar dalam sesebuah masyarakat. Hal ini membuktikan bahawa bahasa amat penting dalam menyatupadukan masyarakat selain daripada itu dapat memecahbelahkan sesebuah masyarakat. Ketidakfahaman semua lapis masyarakat tentang sesuatu perkara menyebabkan mereka berbeza pendapat. Apabila sudah berbeza pendapat mereka pula cenderung untuk menegakkan pendapat masing-masing. Medium yang digunakan untuk menegakkan pendapat masing-masing sudah semestinya melalui bahasa sebagai bahan perantaraan untuk menyampaikan buah fikiran masing-masing.
Bahasa memainkan peranan yang amat penting untuk menyatukan masyarakat dalam sesebuah negara tambahan lagi negara yang mempunyai pelbagai etnik didalamnya. Penyalahgunaan bahasa untuk kepentingan peribadi adalah tidak patut dilakukan oleh masyarakat yang budiman. Mereka perlu membuka minda dan  mendengar penjelasan semua orang tentang sesuatu perkara dan tidak bertindak melulu. Apabila seseorang dikawal oleh emosi maka segala tingkah laku dan tutur bicaranya juga mengikut emosi dan tidak rasional di mata orang lain.

No comments:

Post a Comment