Novel ini mempunyai banyak ciri-ciri modal insan yang diterapkan dalam karya tersebut. Antara ciri-ciri yang terdapat dalam novel tersebut dari sudut ukrawi ialah takwa kepada Allah serta mendirikan solat dan permurah dan bersedia berkhidmat mencari keredhaan Allah. Manakala nilai modal insan dari sudut duniawi ialah menjauhi perbuatan dan perkataan yang tidak bermanfaat, memelihara kehormatan dan maruah diri, celik sejarah dan masyarakat yang mengunakan kepakaran mereka berlandaskan unsur Islam.
Masyarakat yang Bertakwa Kepada ALLAH
Masyarakat yang bertakwa akan mendapat kejayaan di dunia dan akhirat. Kemuncak kejayaan dan kebahagiaan bagi orang bertakwa ialah mereka akan dikurniakan kenikmatan syurga oleh Allah di akhirat nanti. Kejayaan yang dimaksudkan tersebut ialah kehidupan mereka yang dilimpahi rahmat oleh Allah dan terbukanya pintu rezeki seluas-luasnya kepada mereka yang akan membawa kebahagiaan dan ketenteraman hidup walaupun kehidupannya sebagai pejuang sering dihalang dan digaggu gugat oleh musuh-musuh Allah. Orang yang bertakwa kepada Allah ialah orang yang melaksanakan arahan-arahanNya dan meninggalkan tegahan-tegahanNya. Sekiranya kita dapat memenuhi arahanNya maka kita akan mendapat kemenangan, dan keselamatan di duniawi serta akhirat. Pejuang yang bertakwa sentiasa mendapat hidayah dan petunjuk daripada Allah serta segala dosa dan kesalahannya akan dihapus dan diampunkan oleh Allah.
Laksamana Sunan merupakan contoh yang terbaik untuk membuktikan kekuasaan orang yang bertakwa kepada Allah. Dia sentiasa mendirikan solat walau dimana dia berada, malahan dalam hutan sekalipun. Malahan semasa membuat pertempuran dengan Laksamana Hang Tuah, dia telah mengajak lawannya mendirikan solat dahulu sebelum meneruskan pertarungan. Kejayaan yang diperolehinya ialah dia mampu mengalahkan semua manusia yang melakukan perbuatan syirik. Selain daripada itu, keluarga Haryani pula turut berdoa kepada tuhan agar Haryani bangkit daripada koma. Masyarakat Acheh dan Melaka pada kurun ke-15 sentiasa menjaga amalan mereka agar tidak terpesong dari akidah.
Setiap manusia yang mempunyai modal insan harus mempunyai “amalan badan” iaitu keadaan diri yang berada dalam keadaan suci bersih dari segi lahiriah dan dalamannya seperti menjauhi najis-najis, menutup aurat, melakukan sembahyang yang wajib dan sunat, menunaikan zakat, membebaskan hamba abdi, mengamalkan sifat pemurah dalam diri, dan lain-lain amalan lagi. Manakala berkenaan dengan cara pergaulan dan kehidupan seharian dengan orang ramai harus mengikuti jama’ah Muslimin, mentaati waliyulamri, mendamaikan mereka yang berkelahi tolong menolong, mengamalkan aturan-aturan jenayah berat mengikut Islam, melakukan jihad dan melarang perkara-perkara yang mungkar.
Sedia Berkhidmat Mencari Keredhaan ALLAH
Seluruh ahli agama dan ulama seseungguhnya menegaskan ilmu adalah penting untuk dituntut di dunia ini. Ulama Islam seperti Imam al-Ghazali dan Ibn Khaldun mengkehendaki supaya ahli-ahli ilmu perlu mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang ilmu mereka. Ilmu merupakan kepentingan kepada semua orang. Hal ini kerana ilmu akan membantu ahli-ahli ilmu atau orang yang berpelajaran akan berkhidmat dengan baik dalam bidangnya disamping mendekatkan diri dengan Tuhan. Disamping itu, mereka mengunakan kepakaran mereka untuk membantu sesama umat manusia begitu yang di minta oleh Tuhan.
Semasa menjadi anak angkat kepada Wali Sufi, Laksamana Sunan mendalami ilmu agama dan silat untuk membantu sesama umat. Misalnya Laksamana Sunan telah berjaya membunuh Beragas yang telah membunuh banyak gadis sunti untuk menambahkan kuasanya penyembah syaitan. Walaupun Laksamana Sunan telah kehilangan kawan yang sama-sama berjuang dengannya telah meninggal dunia di bunuh manusia penyembah syaitan, dia tidak mudah lemah semangat untuk meneruskan perjuangan menentang kejahatan yang bermajarajalela. Sesungguhnya ilmu yang mendalam tentang ilmu agama Islam telah menjadi Laksamana Sunan seorang yang berjaya dalam hidup dia untuk menentang kejahatan.
Selain daripada mengunakan ilmu yang ada dalam diri untuk membantu masyarakat, konsep yang lebih mudah difahami untuk menerangkan berkhidmat kepada Tuhan ialah menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepada kita perlu dijalankan dengan baik mengikut ajaran agama masing-masing. Berkhidmat kepada Tuhan dengan dimulai dengan ibadat setiap masa, menjadi pendidik ilmu kepada setiap orang, menjadi penuntut ilmu, menjadi penjaga kepada ahli keluarga dan berkhidmat kepada masyarakat. Apabila setiap orang menjalankan tugas mereka dengan baik, maka hasil yang diperolehi semesti dapat dirasai oleh semua orang disekelilingnya. Oleh itu tugas yang dijalankan mestilah dilakukan dengan sebaik mungkin mengikuti batas-batas agama. Mengikut Ramlee Awang Murshid, seseorang yang berjuang atas nama ALLAH ialah mematuhi perintah ketua yang berjuang atas nama ALLAH seperti dalam petikan dibawah.
“Tidak sekali-kali tuan hamba. Kita dianjurkan mematuhi perintah seorang ketua yang benar-benar berjuang kerana ALLAH. Pemerintah yang adil adalah pemerintah yang melaksanakan undang-undang berlandaskan kehendak ALLAH. Membunuh sahabat sendiri Hang Jebat dan menyerahkan Tun Teja yang dicintai bukan satu ketaatan tapi tindakan seorang dayus yang mengaku sebagai pahlawan Melaka.” Kata-kata Laksamana Sunan membuatkan Hang Tuah hilang kawalan.
(Bagaikan Puteri:423)
Laksaman Sunan merupakan pejuang atas nama Allah iaitu dia membantu orang ramai yang bermasalah seperti diganggu orang minyak, penyembah Syaitan, hantu pemenggal kepala dan orang mengamuk. Sesungguhnya Laksamana Sunan atau Saifudin sedia berkhidmat untuk membentuk seseorang menjadi insan yang berguna sebelum menjatuhkan hukuman. Selain itu, Dani pula bertugas menjadi pensyarah setelah menamatkan pelajarannya di luar negara. Manakala Haryani telah kembali ka alaf 21 setelah lama terlontar jauh ke abad 15 untuk menjalankan tugas sebagai seorang anak kepada Amnah dan Latif. Kesetiaan Laksamana Hang Tuah dan Tun Mutalib menjalankan perintah Sultan walaupun tanpa kerelaan hati. Orang Kaya Seman dan Penghulu Jalis telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi penghulu yang berkaliber walaupun pelbagai masalah menimpa kampung mereka. Terdapat banyak lagi contoh watak yang menunjukkan ciri-ciri seorang insan yang berkhidmat atas nama Allah dengan menjalankan tugas mereka dengan sebaik mungkin.
Secara rumusannya apabila manusia mengamalkan nilai sedia berkhidmat kerana Allah sudah pasti dalam hati mereka penuh dengan nilai-nilai positif yang memberi manfaat kepada manusia desekelilingnya itu.
Tuntutan agama Islam merupakan menjamin kesejahteraan hidup umatnya di dunia dan di akhirat serta memelihara kehidupan umatnya daripada perkara-perkara yang mudarat dan merosakkan. Oleh sebab itu, Islam telah mensyariatkan hukum halal dan haram dalam setiap aspek kehidupan umatnya. Justeru setiap Muslim wajib memelihara halal dan haram dalam setiap perkara. Misalnya dalam pemakanan Muslim harus memberi perhatian kepada makanan yang dimakan agar benda haram tidak masuk ke dalam tubuh mereka seterusnya menjadi daging mereka. Hal ini kerana daging yang tumbuh daripada sumber yang haram maka api nerakalah menjadi tempatnya di akhirat. Walaubagaimanapun, terdapat banyak lagi perkara haram yang lain perlu diberi perhatian kerana perkara yang diharamkan selain pemakanan amat luas dan banyak. Contohnya meliputi gaya hidup, perbuatan, persepsi dan pandanan asing yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang suci.
Allah telah mengharamkan syirik iaitu menyembah sesuatu yang lain daripada Allah. Syirik bukan setakat menyembah sesuatu selain daripada Allh tetapi juga mempunyai sifat takabur dan riak. Takabur bermaksud membesarkan dan mengagungkan diri sendiri sesungguhnya hanya Allah mempunyai kelebihan tersebut bukan manusia. manakala riyak pula bermaksud menunjuk-nunjukkan perbuatan yang tidak baik agar dilihat dan dipuji oleh orang lain sedangkan apabila dia bersendirian dia tidak melakukan perbuatan tersebut.
Dalam novel Bagaikan Puteri terdapat masyarakat pada zaman dahulu di Aceh dan di Melaka amat tidak menyukai orang yang mengamalkan amalan syirik kerana amalan ini boleh merosakkan keharmonian masyarakat di situ. Antara manusia yang mengamalkan perbuatan syirik ini ialah Beragas, Nyi Burga Kelara, Purba Hitam, Ratu Sulaman dan Maharani yang menyembah selain daripada Allah untuk mendapat kuasa. Laksamana Sunan sebagai pejuang membanteras segala perbuatan syirik tersebut untuk mewujudkan keselamatan di kalangan masyarakat setempatnya.
Disamping itu, Allah juga mengharamkan beberapa persepsi dan pandangan yang haram. Persepsi dan pandangan yang haram seperti berprasangka buruk terhadap orang lain, menuduh orang lain dengan tuduhan palsu, mengumpat, memfitnah dan sebagainya. Tujuan untuk mengharamkan perbuatan tersebut adalah untuk memelihara kerukunan hidup umatnya atau dengan erti kata lain ialah memelihara dirinya daripada perkara-perkara yang sia-sia sama ada melalui perbuatan mahupun perkataannya. Malahan tidak ada perkataan dan amalan yang lebih baik di sisi Allah melainkan perkataan dan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah. Laksamana Sunan merupakan insan yang menunjukkan budi pekerti yang tinggi sehingga orang yang berada disekelilingnya menghormati dia termasuklah Laksamana Hang Tuah yang mengingkari perintah sultan supaya membunuh beliau. Di samping itu pelbagai lagi kisah yang boleh menjadi tauladan seperti kejadian orang minyak yang menyebabkan ayah Laksamana Sunan dituduh menjadi orang minyak.
Penjelasan di atas menunjukkan bahawa kewajipan setiap Muslim bukan setakat memelihara makan minumnya daripada sumber yang haram, malah Muslim juga wajib memelihara segala perbuatannya, persepsinya, kelakuannya dan pandangannya daripada perkara yang haram. Perlulah diinsafi bahawa Allah mengharamkan beberapa cara dan gaya kehidupan asing serta perbuatan keji adalah untuk memelihara Muslim dan kesejahteraan masyarakat agar dapat hidup dengan harmoni dan sentosa. Malahan Islam menyusun adab-adab kehidupan umatnya berlangsung dengan gemilang dan terhormat. Sesungguhnya sifat yang ada dalam diri Laksamana Sunan begitu luhur hingga tidak nampak cacat celanya dalam bertutur serta perbuatannya setelah menjadi wali sufi.
Memelihara Kehormatan dan Maruah Diri
Maruah diri amat penting bagi seseorang yang bergelar insan. Setiap orang perlu menjaga maruah diri dan agama masing-masing serta saling menghormati, mempertahankan dan memperjuangkan perkara tersebut. Menjaga maruah bukan setakat menjaga maruah diri sendiri tetapi menjaga maruah orang lain juga. Kita tidak harus membuatkan seseorang itu jatuh air muka akibat perbuatan kita, hal ini akan menyebabkan pelbagai perkara yang tidak ingini akan berlaku. Perkara yang berlaku seperti orang tersebut berdendam, rendah diri, bermasam muka dan sebagainya yang negatif. Walaubagaimanapun, sesuatu yang buruk berlaku pasti mempunyai hikmah disebaliknya seperti yang berlaku dalam novel Bagaikan Puteri.
Laksamana Sunan semasa remaja telah dituduh melakukan perbuatan sumbang tanpa usul periksa, dia juga dihukum oleh ayahnya sendiri sebagai penghulu masa itu. Tindakan ayahnya pada masa itu telah membuatkan Laksamana Sunan berjauh hati dengan ayahnya menyebabkan dia merantau jauh sehingga pernah menjadi hamba abdi di atas kapal sebelum berjumpa dengan Wali Sufi. Setelah mendalami ilmu agama dengan Wali Sufi, Laksaman Sunan telah kembali ke Tanah Melayu untuk menjalankan kewajibannya sebagai anak menjaga kebajikan keluarganya setelah lama ditempat orang. Peristiwa tersebut telah menunjukkan bahawa sesuatu peristiwa membawa hikmah tersendiri. Oleh sebab itu tidak boleh menjatuhkan air muka orang kerana tuah ayam nampak ditaji, tuah manusia tiada siapa yang tahu.
Seterusnya kita harus menghindarkan diri terjebak dengan perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah kita sendiri dan orang lain. Misalnya jangan menginginkan lelaki lain selain daripada suami sendiri yang boleh menyebabkan seseorang itu lalai dalam perbuatannya serta murka dengan tindakan tersebut. Melor merupakan kekasih Laksamana Sunan sewaktu remaja dahulu masih menyintai Laksamana Sunan walaupun sudah bersuami, walaubagaimanapun Laksamana telah menyedarkan perbuatan Melor tersebut adalah berdosa.
“Kalau begitu, berlindunglah pada ALLAH dari syaitan dassim yang laknat.” Laksamana Sunan memberi nasihat. Sesungguhnya syaitan bernama dassim antara anak kesayangan iblis laknatullah. Zuriat terkutuk hasil perkongsian hidup iblis dengan seekor jin betina. ... memerangai manusia agar ALLAH memasukkan golongan fasik ini ke tempat jahanam.
(Bagaikan Puteri : 361)
Sekiranya titipan penulisan tersebut diamalkan oleh masyarakat kini sudah pasti segala gejala sosial tidak berlaku kerana semua rakyat mempunyai pendoman dalam kehidupan mereka semasa melakukan sesuatu perbuatan.
5.5 Masyarakat Celik Sejarah
Celik minda bermaksud berlakunya proses berfikir yang menyebabkan manusia menjadi tahu akan sesuatu yang menjadi asas kepada maklumat dan ilmu. Walaubagaimanapun tidak semua maklumat berstatus ilmu tetapi setiap ilmu mengandungi maklumat. Manusia yang ingin mengetahui sesuatu yang ada di sekitarnya merupakan manusia yang bersifat ingin tahu atau celik minda. Manakala celik sejarah pula bermaksud bersifat ingin tahu tentang sejarah bangsa masa lampau. Dalam novel ini penulis mengambarkan suasana masyarakat zaman kegemilangan Acheh dan Melaka yang terkenal zaman dahulu serta melibatkan mitos Hang Tuah, Tun Teja, dan Sultan Mahmud.
Mantan perdana menteri Datuk Seri Mahathir Mohamad dahulu telah mengingatkan bahawa rakyat perlu membaca, mempelajari dan meneladani sejarah bangsa masa lampau. Sejarah mengandungi prinsip iaitu ‘teladan’ dan ‘keputusan’. Sejarah yang mempunyai teladan yang harus mengandungi elemen yang difikirkan secara teliti dan difahami dalam konteks yang lebih mendalam dan bukan setakat cerita penglipur lara atau sekadar bahan kenang-kenangan tetapi hakikatnya sejarah itu membawa manusia mengenali akan alam jati dirinya. Teks sejarah yang lampau seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa sekadar menyatakan beberapa sahaja unsur mitos, legenda dan dongeng. Haryani merupakan insan yang terlontar jauh kezaman kurun ke-15 telah memberitahu dengan tegas sebab kejatuhan zaman Melaka kepada Sultan Mahmud yang mementingkan diri sendiri sehingga akhirnya Melaka jatuh ke tangan Potugis pada tahun 1511.
Ditengah-tengah kepesatan pembangunan pada masa ini, masyarakat diingatkan kembali kepada sejarah. Bangsa Melayu yang bangga dengan keagungan zaman Hang Tuah yang hingga kini menjadi tiupan semangat orang Melayu menerokai dunia ‘Takkan Melayu Hilang di Dunia’. Dalam novel Bagaikan Puteri, penulis turut menyelitkan kisah Hang Tuah pada Zaman Melayu Melaka pada zaman dahulu. Penulis telah mengarap cerita keadaan zaman Melaka pada masa itu dengan berkesan sekali sehingga pembaca merasakan kewujudan Laksaman Sunan benar-benar wujud bersama-sama Hang Tuah. Malahan sikap Sultan Melaka telah memberi banyak pedoman agar tidak dicontohi oleh masyarakat pada masa kini. Novel ini telah menyelitkan sejarah zaman dahulu menyebabkan pembaca dapat mendapat ilmu tentang sejarah disamping mendapat hiburan semasa membaca.
Masyarakat yang Mempunyai Kepakaran dan Mengikuti Ajaran Agama
Rakyat atau individu yang mendiami sesebuah sempadan yang telah ditetapkan merupakan aset yang penting memajukan sesebuah negara. Segala pembangunandan kemajuan yang dicapai berdasarkan sumbangan yang telah dilaburkan oleh rakyat untuk negara tersebut. Terdapat pembahagian dalam organisasi tersebut untuk menguruskan segala pelaburan yang telah dibuat oleh semua rakyat. Terdapat orang yang menguruskan pelaburan tersebut, terdapat juga yang melaksanakan segala yang telah diaturkan dan terdapat juga sebahagian insan yang bertugas mengawal perlakuan setiap insan yang menjalankan tugas mereka agar perkara yang tidak diigini berlaku.
Sekiranya insan yang melaksanakan sesuatu tugas tersebut mempunyai nilai yang tinggi maka pulangan yang diperolehi setiap pelabur atau rakyat yang berada di kawasan sempadan tersebut akan menerima habuan yang setimpal dengan sumbangan mereka. Oleh itu setiap insan yang menguruskan sesuatu hal atau bahagian perlu telus dalam tugasan mereka. Hal ini kerana, sekiranya insan yang bertugas tersebut baik dan berkualiti, maka perancangan, pelaksanaan dan natijah akan baik juga dalam sempadan tersebut. Segala kepakaran yang ada pada mereka perlulah digunakan di atas jalan ALLAH untuk mendapat keredhaanNYA.
Organisasi tersebut dapat dilihat pada zaman pemerintahan Melaka iaitu zaman pemerintahan Sultan Mahmud. Baginda sultan Melaka mempunyai pekerja ynag sangat taat kepada perintah baginda walaupun permintaan baginda tidak logik dan keterlaluan. Misalnya mengatur pertarungan antara Laksamana Sunan dan Hang Tuah yang hanya merugikan negeri sahaja kerana sekiranya dua tenaga ini bergabung menjaga keamanan Melaka lebih berbaloi daripada menyuruh mereka bergabung. Sebagai pengurus yang berkaliber, Sultan Melaka perlulah berfikir secara bijak untuk mengatur segala sumber yang ada dalam negeri tersebut. Selain daripada kesetiaan dan pengorbanan yang dilakukan oleh Tun Mutalib dan Hang Tuah kepada negeri dan raja sekiranya diamalkan pada masa kini amat penting untuk memajukan sesebuah negara.
Seorang pemimpin harus mempunyai kepakaran dalam memimpin sesebuah negara yang menjadi tanggungjawabnya. Pemimpin harus memiliki pemikiran yang berwawasan dan sifat keterbukaan terhadap segala perubahan persekitaran dan tututan semasa serta proaktif kepada realiti mendatang.
No comments:
Post a Comment