Friday, April 1, 2011

Bagaikan Puteri

Novel Bagaikan Puteri merupakan novel hasil karya novelis thriller nombor 1 di Malaysia iaitu Ramlee Awang Murshid. Beliau anak kelahiran negeri di Bawah Bayu iaitu negeri Sabah dan dilahirkan pada 4 November 1967. Beliau mempunyai kelulusan ijazah B.A (Hons) Communication daripada Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM). Sekarang beliau bertugas sebagai wartawan penyiaran di RTM di Angkasapuri Kuala Lumpur. Beliau merupakan pelajar yang cemerlang ketika menuntut di UKM dengan terbuktinya pelbagai anugerah yang diterima beliau daripada pihak universiti.
            Setakat ini, beliau telah memiliki empat anugerah atas kejayaan beliau dalam bidang penulisan. Anugerah-anugerah beliau adalah pemenang kedua Hadiah Sako dan tempat kedua menulis novel dewasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) negeri Sabah melalui novel Igauan Maut. Novel yang sama juga iaitu novel Igauan Maut sekali lagi terpilih sebagai pemenang Hadiah Sastera Negeri Sabah pada tahun 1994/1995. Baru-baru ini beliau telah  menerima anugerah sebagai penerima Hadiah Karya Sulung sempena perayaan 25 tahun DBP cawangan Sabah dan anugerah novelis profilik Alaf 21. Novel Bagaikan Puteri pula telah menerima anugerah sastera daripada Dewan Bahasa dan Pustaka negeri Sabah.
            Kejayaan beliau seperti yang di atas telah menunjukkan kejayaan beliau sabagai seorang penulis untuk menyampaikan mesej yang berguna kepada masyarakat pada masa kini. Walaupun beliau dikategorikan sebagai novelis genre thriller, namun beliau dengan berkesan menerapkan mesej-mesej dan unsur-unsur Islam dalam karya beliau. Malahan unsur-unsur dan isu ketuhanan ini telah berjaya diadunkan dengan baik sekali dalam inti pati setiap novel beliau. Sekiranya novel beliau dikaji oleh ahli-ahli sastera, ternyata novel-novel beliau boleh dikelaskan sebagai novel Islami.
1.0                                                   Novel Bagaikan Puteri
Novel ini telah menerima anugerah sastera Sabah daripada Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah. Novel ini mengisahkan antara dua insan iaitu Haryani dan Laksamana Sunan yang saling jatuh cinta. Pertemuan mereka telah berlaku dalam satu dimensi yang di luar batas jangkauan manusia, malahan sukar diterima logik akal manusia. mereja daripada zaman yang berbeza, iaitu Haryani daripada Alaf 21 manakala Laksamana Sunan daripada zaman kurun Ke-15. Mereka bertemu di kurun ke-15. Haryani semasa berada di abad tersebut telah terperangkap di antara kebaikan dan kebatilan manusia yang berada disekelilingnya. Perjalanan yang panjang serta dipenuhi ranjau dan cabaran membuatkan Haryani dan Laksamana Sunan memendamkan sahaja perasaan mereka terhadap satu sama lain.
            Pada kemuncak ceritanya, Haryani harus membuat pilihan untuk meninggalkan salah satu zaman yang didiaminya. Tambahan pula, Dani merupakan pemuda di alaf 21 telah jatuh cinta pandang pertama apabila melihat Haryani yang terlantar koma di hospital. Dani berusaha untuk membawa Haryani kembali ke abad 21. Haryani harus membuat pilihan untuk tinggal di abad ke-15 atau kembali semula ke abad 21. Hal ini kerana tidak ada dua kehidupan dalam zaman yang berlainan. Oleh sebab itu, Haryani harus mati antara salah satu  kehidupan tersebut.
            Ternyata jalan cerita ini berada diluar akal logik pembaca kerana menceritakan tentang jasad seseorang itu terlontar jauh ke zaman silam sewaktu koma. Walaubagaimanapun, sesuatu itu boleh berlaku dengan keizinan tuhan yang maha kuasa.  Novel ini seperti mengisahkan mitos tentang kewujudan Laksamana Sunan iaitu watak utama novel tersebut seakan benar-benar wujud sewaktu ketika dahulu seperti mitos kisah Hang Tuah. Hal ini kerana hasil kejayaan penulis mengarap cerita dengan perjalanan cerita yang tersusun dan jelas.

No comments:

Post a Comment